29 NOV : Lafaz Rukun Negara akan diaksanakan pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat, selepas ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata lafaz tersebut akan dilakukan pada hari kedua mesyuarat pertama setiap penggal Parlimen.
Jelas beliau, keputusan tersebut dilakukan selepas mendapat persetujuan Jawatankuasa Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia serta Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat.
“Saya membawa cadangan ini kepada Jawatankuasa Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia dan juga Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat untuk dipertimbangkan. Kedua-dua jawatankuasa ini bersetuju melaksanakan lafaz Rukun Negara ini di Dewan Rakyat.
“Oleh itu, saya memasyhurkan agar lafaz Rukun Negara ini dilaksanakan pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat, iaitu pada hari kedua mesyuarat pertama pada setiap penggal Parlimen,” katanya semasa sesi Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Johari berkata beliau menerima permohonan daripada Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang mengenai cadangan supaya Rukun Negara dilafazkan secara penuh bermula dengan mukadimah dan diikuti lima prinsipnya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan supaya semua program rasmi kerajaan yang dianjurkan setiap kementerian dimulakan dengan lafaz ikrar Rukun Negara sebagai usaha untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menterinya, Aaron berkata Rukun Negara juga perlu dilafazkan pada setiap kali pembukaan penggal serta permulaan sesi mesyuarat Parlimen.