30 NOV : Kerajaan masih mengkaji mekanisme pengagihan bantuan dan subsidi paling berkesan serta mudah kepada rakyat.
Kementerian Ekonomi melalui jawapan bertulis yang disiarkan laman sesawang Parlimen berkata antara kaedah dipertimbangkan termasuk pengagihan menerusi e-baucar, e-dompet atau penyaluran tunai secara terus melalui akaun bank.
“Sebagai contoh, bayaran Sumbangan Tunai Rahmah secara tunai akan disalurkan terus ke dalam akaun bank penerima manakala skim-skim bantuan terpilih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menggunakan e-dompet.
“Bagaimanapun, penyaluran bantuan secara tunai masih perlu dipertimbangkan untuk penerima di kawasan luar bandar yang berdepan kesukaran capaian rangkaian telekomunikasi.
“Oleh itu, mekanisme ini perlu diteliti dengan lebih lanjut bagi memastikan agihan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan memudahkan penerima,” kata kementerian itu.
Ia bagi menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan sistem e-dompet secara menyeluruh untuk menggantikan bantuan tunai dalam pelaksanaan bantuan subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan barangan asas.
Dalam jawapan sama, Kementerian Ekonomi berkata pelaksanaan ekosistem tanpa tunai seperti e-dompet dapat menggalakkan masyarakat untuk menggunapakai teknologi.