30 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.
Menerusi perkongsian beliau di Facebook, hari ini, pertemuan tersebut bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kepentingan bersama Malaysia dan Indonesia termasuk hubungan dua hala dalam pertahanan serta keamanan negara.
“Semoga hubungan kedua-dua negara serumpun ini terus terjalin erat dan utuh buat selamanya, insya-Allah,” katanya.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Terdahulu, Prabowo yang juga calon Presiden Indonesia dilapor berlepas ke Malaysia pada pagi Khamis bagi mengadakan kunjungan hormat kepada Anwar.
Menurut laporan berita ANTARA pertemuan Prabowo dan Anwar dilihat sebagai langkah positif dalam mengukuhkan kerjasama dan persahabatan antara Indonesia dan Malaysia.