30 NOV: Malaysia tidak memerlukan Akta baharu bagi menangani pembinaan bangunan tambahan tanpa izin kerana undang-undang sedia ada di negara sudah mencukupi.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, berkata akta yang masih digunakan bagi menangani isu tersebut adalah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
“Soalnya adalah tentang penguatkuasaan undang-undang. Setiap pembinaan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mana-mana pembinaan tambahan struktur yang boleh mengundang risiko bahaya kebakaran, boleh diambil tindakan di bawah Akta Bomba.
“Setiap kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000, penjara tiga tahun dan sekiranya kesalahan itu berterusan setiap hari, dendanya boleh digandakan RM100 setiap hari,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu mekanisme pemantauan digunakan oleh pihak kementerian terhadap pembinaan bangunan tambahan bagi mengelakkan risiko kebakaran dan ancaman keselamatan terhadap penduduk sekitar.
Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata kementerian di bawahnya sentiasa komited dalam memastikan bangunan dan rumah yang didiami oleh penduduk berada dalam keadaan selamat.
Terdahulu, media melaporkan terdapat bilik sewa kapsul seperti ‘sangkar burung’ yang hanya memuatkan sebuah tilam dengan sewa RM300 sebulan.
Bilik sewa yang turut mengabaikan aspek keselesaan dan keselamatan itu semakin bercambah ekoran sikap pemilik rumah yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda.