1 DIS : Israel menyambung semula tindakan ketenteraannya dalam misi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin sebaik tamat gencatan senjata yang berlangsung selama tujuh hari.
Sejak awal pagi hari ini menyaksikan rejim zionis mengebom Semenanjung Gaza yang meragut sekurang-kurangnya 65 penduduk Palestin.
Menurut laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), jumlah korban di Gaza meningkat kepada 65 orang sejak 7 pagi (waktu tempatan) dengan majoritinya kanak-kanak dan wanita serta ramai lagi disahkan cedera.
Gencatan senjata kemanusiaan di Semenanjung Gaza berkuat kuasa pada 24 November lalu jam 7 pagi (waktu tempatan) yang ditetapkan selama empat hari dan dilanjutkan tiga hari lagi.
Sekurang-kurangnya 15,000 penduduk Palestin, majoriti daripada mereka orang awam yang tidak bersalah termasuk lebih 6,500 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita terkorban sejak permulaan kempen pembunuhan beramai-ramai tentera Israel di Gaza pada 7 Oktober lalu.