1 DIS : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas hari ini selepas menjalani tempoh berehat susulan melakukan pembedahan, baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilihat hadir ke mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keadaan ceria ketika membuat pendaftaran Identiti Digital Nasional atau Digital ID pada jam 9 pagi, hari ini.
Beliau merupakan antara menteri yang menyertai perdana menteri mendaftar Digital ID.
Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian tanpa menggantikan sistem MyKad.
“Ya, Datuk Seri kembali bertugas,” kata seorang pegawai Ahmad Zahid.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berada dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan pada 19 November.
Perkara tersebut disahkan oleh anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menerusi hantaran di Instagram.
Pada 23 November, Ahmad Zahid dalam hantaran Facebooknya memaklumkan beliau kini dalam tempoh berehat seperti yang dinasihatkan oleh doktor sebelum kembali bertugas.