4 DIS : Kerajaan memberi kelonggaran kepada pelancong asing untuk mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kelonggaran itu diberi buat masa ini.
Mengikut peraturan, pelancong dikehendaki mengisi MDAC tiga hari sebelum ketibaan ke negara ini mulai 1 Disember lalu.
“Ini supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baharu itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sambutan Setahun KDN MADANI dan perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.
MDAC adalah sebahagian inisiatif utama penambahbaikan kemudahan Imigresen berikutan pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong China dan India mulai 1 Disember lepas.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata MDAC dilaksana kerana KDN tidak akan sesekali berkompromi dengan aspek keselamatan negara di sebalik liberalisasi visa yang bertujuan merancakkan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam sektor pelancongan.
“Bila kita buat langkah liberalisasi, kita tahu mereka masuk guna pas apa dan kita mengkehendaki mereka mengisi kad digital sebagai satu prasyarat iaitu membolehkan kita mengesan keberadaan mereka,” katanya.
Pada 1 Disember lalu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata kelonggaran pengisian kad ketibaan digital diberikan hingga 7 Disember 2023.
Saifuddin Nasution juga berkata tempoh sah laku pasport Malaysia yang kini lima tahun adalah kekal namun KDN akan menilai cadangan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) untuk melanjutkannya kepada 10 tahun berdasarkan praktik terbaik negara lain.
Ditanya keperluan kawalan di pintu masuk susulan kebimbangan peningkatan kes Covid-19, beliau berkata sebelum polisi berkaitan perkara itu diumum, ia harus berpandukan pendirian Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita belum mendapat sebarang amaran terkini atau langkah berjaga-jaga daripada KKM. Sehingga itu berlaku, program liberalisasi visa akan berjalan seperti dirancang,” katanya.