4 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kaunter pengurangan kadar kompaun saman sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI selama tiga hari bermula 8 Disember ini.
Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga turut dibuka selama tiga hari pada tarikh sama di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain itu, kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai RAHMAH (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-cuti Cikgu dan kaunter wang tidak dituntut (JANM).
Sementara itu, menerusi kenyataan di Facebook Malaysia MADANI, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan turut melakukan pameran pelbagai aset pada hari tersebut.
ATM dijangka akan membawa aset strategik dan kenderaan ringan, manakala APM menampilkan jentera Fire RescueTender (FRT) dan Special Rescue Vehicle (SRV), sementara JBPM pula akan mempamerkan Water Rescue Vehicle, FRT, Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan bot penyelamat.
Bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), antara pengisian yang akan dibuat ialah aktiviti pembudayaan sains, teknologi dan inovasi di reruainya di khemah nombor satu, selain jualan produk Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY).