5 DIS : Sokongan rakyat Kemaman terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada Sabtu lalu berada pada tahap yang memuaskan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau kurang bersetuju dengan kenyataan yang menyifatkan UMNO masih jauh daripada berjaya untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu.
Pada masa sama, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata beliau turut berpuas hati dengan maklum balas yang diterima pada mesyuarat antara kepemimpinan PH dengan UMNO, semalam.
“Tidak juga (berhubung UMNO dilihat masih sukar mendapatkan semula sokongan rakyat). Kalau kita tengok peratusan undi, ada sedikit penyusutan undi PAS.
“Tetapi nampak pengundi UMNO belum dapat, belum keluar mengundi dan ini mungkin patut diberi penjelasan.
“Semalam, kita ada mesyuarat antara pimpinan PH dengan UMNO. Saya berpuas hati, nampak mereka kerah ke akar umbi,” katanya.
Beliau berkat demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu masih jauh daripada berjaya dalam usaha untuk mengembalikan semula kepercayaan pengundi Melayu.
Bagaimanapun katanya, tugas mengembalikan kepercayaan pengundi Melayu ke pangkuan UMNO ketika ini bukan mustahil meski pun agak sukar.
Sabtu lalu, PAS mengekalkan kemenangannya di Parlimen Kemaman selepas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri memenangi PRK itu dengan majoriti 37,220 undi, setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon BN Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.
Mengulas mengenai kemenangan Menteri Besar Terengganu itu, Anwar berharap agar
Ahmad Samsuri dapat menjalankan tugasnya dengan lebih baik.
“Saya ucapkan tahniah di atas kemenangan Ahmad Samsuri. Beliau memberikan sekurang-kurangnya kelegaan kerana memberikan imej yang sederhana daripada sikap pemimpin PAS yang jauh lebih ekstrem.
“Mudah-mudahan kemenangan Ahmad Samsuri dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas,” katanya.