5 DIS : Rakyat Malaysia boleh menyaksikan serta memahami segala pelaksanaan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh setahun pentadbirannya menerusi Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bermula 8 hingga 10 Disember ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata program tersebut merupakan platform terbaik untuk rakyat dengan menawarkan informasi terbabit secara terus melalui reruai pelbagai kementerian.
Bagaimanapun, program yang dijadualkan berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil itu bukan acara keraian atau sambutan pesta, sebaliknya lebih menjurus kepada hari Kerajaan MADANI bersama pelanggan.
“Ia adalah platform yang akan kita manfaatkan untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai segala yang telah kita lakukan dan memberi kebaikan serta manfaat kepada rakyat.
“Selain itu, pelbagai pengisian ditawarkan seperti mengenai Digital ID, malah pengunjung boleh mendaftar terus Digital ID mereka pada program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia: Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Bernama TV, hari ini.
Selain dapat memahami dasar Kerajaan Perpaduan, pengunjung juga turut berpeluang membuat bayaran saman trafik di kaunter disediakan, selain membeli barang keperluan harian mereka di reruai Jualan Mega MADANI dan Jualan RAHMAH.
Sehubungan itu, Fahmi berharap agar pengisian program tersebut mampu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kejayaan Kerajaan MADANI yang melakukan banyak perkara asas dalam tempoh setahun pentadbiran.
“Antaranya seperti, mengangkat nama Malaysia ke mata dunia terutama dalam pendirian berkaitan penindasan terhadap rakyat Palestin,serta usaha berterusan dalam aspek menstruktur semula ekonomi, memperkasakan ekonomi digital dan mengawal harga barang dalam memastikan negara kembali ‘mengaum’ sebagai Harimau Asia,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menghadiri program tersebut boleh merancang perjalanan sama ada menaiki kenderaan sendiri, menggunakan kemudahan bas ulang alik (shuttle bus) atau Transit Aliran Ringan (LRT).