5 DIS : Jemaah menteri perlu diberi peluang dalam mempamerkan prestasi terbaik sepanjang mentadbir di bawah Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak adil untuk menilai prestasi jemaah menteri termasuk dirinya ketika ini memandangkan pentadbirannya baru sahaja memasuki tahun yang pertama.
Bagaimanapun katanya, sekiranya prestasi menteri dilihat meleset atau wujudnya keadaan lain yang menuntut, rombakan Kabinet perlu dilakukan dan ia dijangka dilakukan sebelum akhir tahun ini.
“Saya tidak fikir setelah setahun kita membuat penilaian yang adil. Orang perintah 10 tahun, tiga tahun, namun setahun terlalu awal. Jadi, menteri perlu diberi peluang meningkatkan prestasi termasuk perdana menteri dan kalau ada sedikit penyesuaian berdasarkan pengalaman setahun, kita akan lakukan termasuk menambah.
“Rombakan itu perlu, sekiranya prestasi menteri meleset ataupun keadaan lain yang menuntut. Umpamanya kita ini terbentuk dengan gabungan. Jadi, rundingan perlu diadakan. Penyertaan harus setimpal dengan kekuatan parti masing-masing.
“Semua itu mesti ambil dikira. Saya kira tidak lama lagi. Saya diberitahu oleh seorang anak kecil yang memberi nasihat di depan masjid, Akmal, tak salah saya, dia kata sebelum akhir tahun. Jadi, saya setuju.” katanya pada Wawancara Khas Setahun bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan Jemaah Menteri agak tidak terlalu selesa dengan kedudukan Kerajaan Perpaduan selepas setahun pentadbiran.
Tegasnya, ukuran sebenar pencapaian Kerajaan Perpaduan adalah dengan mengutamakan keselesaan yang akan dinikmati rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru Jemaah Menteri untuk bekerja keras bagi memberi khidmat yang terbaik kepada seluruh masyarakat di Malaysia serta tidak hanya tertumpu kepada aspek pertumbuhan ekonomi semata-mata.
“Kadang-kadang apabila jadi pemimpin, semuanya rasa terbaik. Sistem pendidikan semuanya nombor satu, kesihatan…terbaik. Kita dengar dulu, tetapi sebenarnya bila lihat kenyataan, tandas pun tak dapat dibaiki. Sekolah pun banyak yang robek.
“Jangan kita termakan dengan penyakit keselesaan. Kalau tanya saya, kita buat sedaya upaya tetapi jangan rasa ini sudah terlalu baik. Ada lagi keupayaan kita untuk membersihkan dan meningkatkan mutu dan etika kerja kerana akhirnya bukan angka pertumbuhan yang disebutkan.
“Kadar inflasi rendah. Tidak siapa boleh pertikai walaupun kita disanggah sebagai gagal tetapi ternyata kadar inflasi, pertumbuhan dan pengangguran adalah lebih baik,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL