6 DIS: Barangan bantuan kemanusiaan siri ketiga kepada penduduk Palestin di Gaza akan diterbangkan pada 13 Disember ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi barangan bantuan yang disalurkan menerusi Kementerian Luat itu seberat 60 tan iaitu tiga kali ganda daripada penerbangan pertama dan kedua sebelum ini.
“Kementerian Luar akan menghantar penerbangan ketiga pada 13 Disember dan jumlah muatan kali ini agak besar kira-kira 60 tan.
“Penerbangan pertama dan dua hanya masing-masing 20 tan, ini tiga kali ganda daripada jumlah asal.
“Kutipan sumbangan masih berjalan oleh Wanita UMNO. Kita juga telah dan sedang memantau kutipan yang dibuat oleh NGO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn Bhd dan Wanita UMNO Malaysia di Bangunan Perdana, hari ini.
Wanita UMNO diwakili Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyerahkan sumbangan berjumlah RM621,954.60 kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin.
Manakala syarikat pengendali rangkaian pasar mini 99 Speed Mart menyerahkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada tabung yang sama.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap agar keprihatinan rakyat Malaysia dapat diteruskan dalam memastikan bantuan disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza.
“Kita harap keprihatinan rakyat Malaysia ini dapat kita teruskan. Kita lihat asakan di Selatan Gaza amat menyakitkan dan kezaliman ini masih diteruskan oleh pihak Zionis,” katanya.
“Kita harus memberikan bantuan berterusan kepada rakyat Palestin yang berada di Gaza yang terus ditekan oleh pihak Israel,” katanya.