6 DIS : Pelabur dalam Berjaya Food – pemilik francais Starbucks Coffee di Malaysia dinasihatkan menjual saham susulan boikot yang dilancarkan.
Nota penyelidikan RHB Bank itu menyatakan penurunan saham Berjaya Food adalah sebanyak 24%.
“Ramalan kami untuk Berjaya Food kini berubah kepada berwaspada dan boikot berterusan terhadap Starbucks Coffee akan menjadi lebih lama daripada jangkaan awal kami jika tiada penyelesaian jangka pendek kepada konflik Israel-Hamas.
“Selain itu, pemulihan pasca boikot mungkin tidak mudah dan Berjaya Food mungkin memerlukan banyak usaha untuk mendapatkan semula bahagian pasarannya, memandangkan terdapat persaingan yang sengit,” kata bank itu, lapor FMT.
Nota itu juga menyebut harga saham turun kepada 46 sen sesaham daripada 73 sen.
RHB berkata tinjauan ke cawangan mendapati berlaku kejatuhan 30% hingga 40% jumlah pelanggan biar pun pusat beli-belah kekal sibuk dan tiada trend penurunan sama bagi pesaing Starbucks.
“Keadaan ini lebih buruk daripada yang dijangkakan, masa boikot ini tidak sesuai, memandangkan akhir tahun biasanya merupakan tempoh puncak bermusim,” kata nota itu.
Katanya, pengalaman ‘selesa’ yang ditawarkan Starbucks adalah sesuatu yang pesaingnya cuba contohi dan ada yang mungkin memanfaatkannya ketika dan selepas boikot.
RHB juga meramalkan kemerosotan keuntungan bersih Berjaya Food daripada 21% pada 2024 kepada 7% pada 2026.
Semalam, laporan dari New York menyatakan saham Starbucks Corp mengalami rekod kerugian susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap trend jualan syarikat gergasi kopi itu yang dingin sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Saham terbabit turun 1.6% pada Isnin, merosot untuk sesi ke-11 berturut-turut, sejak saham Starbucks mula didagangkan pada 1992. Secara keseluruhan, kemerosotan itu telah menyebabkan kehilangan 9.4% daripada nilai pasaran Starbucks, penurunan hampir ASD12 bilion.
Starbucks menjadi sasaran boikot rakyat Malaysia yang berang kerana dianggap mempunyai hubungan dengan atau sokongan Israel dan kempen ketenteraannya di Gaza.