6 DIS : Kementerian Kesihatan (KKM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang mengarahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengalih bekalan kesihatan dalam tempoh 24 jam dari gudang perubatan di selatan Gaza.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan tidak berperikemanusiaan zionis itu wajar diselar seluruh dunia.
Beliau berkata tindakan rejim itu bukan sahaja menyekat hak kesihatan dan kehidupan rakyat Palestin malah akan merumitkan keadaan untuk mencapai penyelesaian terhadap keamanan di Palestin.
“Kegagalan suara mahu pun tindakan daripada komuniti antarabangsa jelas menunjukkan ketidaksamaan dalam layanan terhadap warga Palestin.
“Saya menyeru semua pihak untuk menegakkan keadilan terhadap Palestin demi keamanan dunia,” menurutnya dalam satu kenyataan.
WHO pada Isnin dilaporkan berkata pihaknya dipaksa memindahkan bekalan dari gudang perubatan di selatan Gaza dalam tempoh 24 jam selepas tentera pendudukan Israel memberi amaran bahawa bekalan itu tidak dapat diakses susulan operasi darat di sana.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu catatan di platform media sosial X menggesa Israel menarik balik perintah itu dan ‘mengambil setiap langkah’ untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam termasuk hospital dan kemudahan kemanusiaan.
Sekurang-kurangnya 15,899 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 42,000 lagi cedera dalam serangan udara dan darat Israel sejak konflik 7 Oktober lepas.