7 DEC : Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dipanggil untuk memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan berkait Perlembagaan yang dikeluarkannya di Manchester, United Kingdom, 29 November lalu.
Mengesahkan perkara tersebut, bekas ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memaklumkan beliau akan memberi keterangan sebaik pulang dari Scotland.
Menurut Kit Siang, kenyataan berkaitan Impian Malaysia itu dibuat ketika berucap di hadapan pelajar-pelajar Malaysia di Manchester.
“Polis sedang mencari saya atas kenyataan saya di Manchester kepada pelajar Malaysia pada Rabu lalu, yang mengatakan Perlembagaan Malaysia, pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk.
“Bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta dengan sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan Impian Malaysia yang meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya serta bukannya membawa kepada suatu impian untuk mana-mana satu etnik saja.
“Saya akan berjumpa dengan pihak polis selepas pulang dari Scotland tetapi perkara ini sudah membuat saya untuk membaca semula Rukun Negara dan sembilan cabaran strategik Wawasan 2020,” katanya dalam kenyataan menerusi blognya.
Dalam kenyataan di media sosialnya, Kit Siang mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.
Beliau juga berharap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.