7 DIS : Jenayah penipuan kewangan memberi risiko yang sangat besar kepada negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata negara boleh mengalami kerugian kewangan kerana kesan langsung jenayah kewangan secara terancang (organised financial crime).
Jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah dalam talian meningkat sebanyak 37 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2023 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu dari 23,608 kes kepada 32,366 kes.
“Ini melibatkan nilai kerugian sebanyak RM1.13 bilion, meningkat sebanyak 46 peratus berbanding tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini.
Sehubungan itu, Fadillah berkata bagi melindungi maklumat peribadi dan data sensitif negara, langkah-langkah proaktif perlu diutamakan bagi memastikan integriti sistem digital dan keselamatan negara kekal utuh.
“Selain itu, jalinan kerjasama antara pelbagai entiti perlu dipupuk di antara pihak kerajaan, organisasi swasta, sektor perniagaan dan juga individu khususnya dalam membangunkan strategi komprehensif bagi menangani ancaman dalam lanskap siber yang sentiasa berkembang dan semakin dinamik,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah turut menyeru semua penjawat awam untuk memberi perhatian yang sewajarnya mengenai isu penipuan kewangan, modus operandi dan tips pencegahan pelbagai jenis scam.
“Penjawat awam juga merupakan agen pelaksana yang memastikan pelbagai inisiatif dan program kerajaan diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang efektif, dedikasi dan berintegriti, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
“Justeru, semua penjawat awam harus sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui pelbagai kaedah pembangunan bakat dan profesionalisme bagi mengekalkan legasi kecemerlangan perkhidmatan awam yang mampu mendokong agenda pembangunan dan kesejahteraan negara,” katanya