7 DIS : Seorang peniaga wanita yang dikenali sebagai Mak Cik Kemboja dan anak lelakinya yang tular baru-baru ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina orang Melayu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan
Berdasarkan pertuduhan, Mariyah Yaakob, 47 didakwa membuat kenyataan dengan niat yang mungkin untuk mengapi-apikan terhadap kaum Melayu.
Perbuatan itu dilakukan menerusi rakaman video di aplikasi TikTok dan telah ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai pada jam 6 petang, 16 November lalu.
Rakaman itu kemudian ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, di sini dan berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara anak lelakinya, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 22 yang juga Pengarah Mariyah Holding turut tidak mengaku bersalah atas tuduhan secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Mariyah dan anaknya masing-masing dilepaskan dengan ikat jamin RM15,000 dan RM10,000 berserta semua syarat dipohon pendakwaan.
Sebelumnya, pihak pendakwaan mencadangkan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain memohon perintah untuk menghalang kedua-dua tertuduh daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes bagi mengelakkan gangguan sepanjang prosiding mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula 12 Januari depan bagi serahan dokumen.
Pada 27 November lalu, Mariyah dan anaknya membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataannya sebelum ini dan mendakwa ia ditujukan kepada bekas pekerja syarikanya serta sebagai motivasi kepada masyarakat.