7 DIS : Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat dilantik sebagai Pengerusi UMNO Terengganu yang baharu serta-merta bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan, hari ini.
“Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan, selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO, Datuk Rozi Mamat dengan in dilantik sebagai Pengerusi UMNO Negeri Terengganu berkuat kuasa serta merta” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran Facebooknya, hari ini mengucapkan tahniah dia atas pelantikan Rozi serta pelantikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi UMNO Johor menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, pelantikan tersebut adalah berkuat kuasa serta merta.
“Mewakili keluarga besar UMNO juga, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan buat Mohamed Khaled dan Ahmad atas segala pengorbanan, usaha dan komitmen yang tinggi dalam memimpin UMNO Johor dan UMNO Terengganu selama ini.
“Moga dapat meneruskan usaha memperkukuhkan dan memperkasakan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL