8 DIS : Tiga agensi akan menyiasat dakwaan pangkalan data laman web Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) digodam.
Ia melibatkan CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meminta orang ramai memberikan masa kepada agensi terbabit untuk menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan itu.
“Kadang-kala maklumat dipaparkan dalam Dark Web adalah maklumat lama yang telah di’bungkus’ semula dan dipersembah semula seolah-olah maklumat baharu.
“…tetapi saya akan dapatkan maklumat dan Insya-Allah pejabat saya akan keluarkan kenyataan kemudian,” katanya kepada media pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyarankan badan korporat dan agensi kerajaan yang menjaga dan memproses data terutamanya dalam skala besar untuk berwaspada selain memastikan organisasi berkenaan mempunyai ketua pegawai keselamatan maklumat (CISO) untuk meningkatkan tahap keselamatan siber.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penamatan kontrak penyanyi Kaka Azraff oleh syarikat Warner Music Malaysia, Fahmi berkata beliau mengambil maklum mengenai isu tersebut dan melihat perkara itu lebih kepada soal kontrak antara Kaka dan syarikat berkenaan.
“Saya sebagai menteri bersimpati tetapi pejabat saya belum dihubungi oleh artis Kaka Azraff namun kita akan lihat apa kita boleh bantu.
“Penting untuk saya tegaskan di sini, ia adalah isu kontrak antara dua pihak dan sekiranya ada apa-apa tindakan undang-undang, kita serah kepada mahkamah untuk putuskan,” katanya.
Terdahulu, Warner Music Malaysia menamatkan kontraknya dengan Kaka kerana penggunaan ‘bahasa tertentu’ yang dilontarkan ketika penyanyi itu menghantar komen secara langsung kepada pelakon Australia pro-Israel Nathaniel Buzolic berkenaan video konflik Palestin-Israel yang dimuat naik lelaki itu dalam media sosial.
Mengenai Program Setahun Bersama Kerajaan Madani, Fahmi berkata seramai 16,000 pengunjung hadir setakat tengah hari ini dan menjangkakan 200,000 orang akan hadir sepanjang tiga hari penganjuran program itu.
Beliau berkata program sehingga Ahad itu memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengenali dengan lebih dekat usaha dan dasar pelbagai kementerian dan agensi untuk manfaat rakyat.