8 DIS : Kementerian Luar Negeri (KLN) perlu berhati-hati dalam memberi sebarang kenyataan kepada pihak media berhubung isu semasa sama ada di dalam atau luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya perlu peka dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkan berikutan ianya akan menjadi rujukan kepada hubungan negara di peringkat antarabangsa.
“Beberapa isu semasa seperti peperangan di Gaza, Palestin dan Rusia-Ukraine, kami perlu berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan kerana melibatkan hubungan antara negara.
“Walaupun ada halangan tertentu, bukan bermakna kita (media) tidak boleh berinteraksi langsung kerana KLN bukan berada di singgahsana yang tidak boleh ditemui atau diwawancara.
“Saya cuba mewujudkan suasana baharu untuk merakyatkan Wisma Putra,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Majlis Makan Malam Apresiasi Media yang diadakan di Hotel Royal Chulan, pada Khamis.
Turut hadir,Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia, Datuk Ahiruddin Attan dan Presiden Kelab Koresponden Antarabangsa, Norman Goh.
Sehubugan itu, beliau berharap agar pihak media dapat terus bekerjasama dengan KLN agar berita yang disalurkan kepada masyarakat sahih dari kementerian tersebut.