8 DIS : Peningkatan bilangan pelabur domestik melibatkan syarikat tempatan di Malaysia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur semakin tinggi berbanding sebelum ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia terbukti apabila jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga September berjumlah RM225 bilion bagi tahun dan ianya datang daripada pelabur domestik.
“Biasanya kita lihat keyakinan sebelum ini tidaklah setinggi yang dapat dilihat sekarang, ini kerana limpahan ekonomi itu menunjukkan pelabur yang masuk memberi impak yang positif untuk syarikat-syarikat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program ‘Ada Apa dengan NIMP 2030 – Maju Industri, Maju Ekonomi Rakyat’ bersempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Bukit Jalil, hari ini.
Beliau berkata dalam meningkatkan keyakinan pelabur domestik untuk melabur di Malaysia,Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus menumpukan usaha menjayakannya menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Jelas beliau, MITI akan memastikan lebih banyak aspek berkaitan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) diperbaiki dan ditambah baik selain pelaburan yang diluluskan dapat direalisasikan secepat mungkin.
“Malaysia menarik pelaburan diluluskan bernilai RM225 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, meningkat 6.6 peratus daripada pelaburan RM211 bilion yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“MITI akan terus memberi fokus kepada pelaburan berdasarkan visi berbanding tumpuan kepada sektor dalam usaha untuk memacu ekonomi negara,” katanya.