9 DIS : Orang ramai dinasihati supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri sebagai langkah pencegahan COVID-19.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman tetap perlu diberikan perhatian walaupun statistik peningkatan jangkitan COVID-19 yang dilaporkan adalah pada tahap ringan.
“Saya ingin menasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan kawalan kendiri seperti kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pensanitasi tangan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini kepada diri anda dan juga keluarga.
“Semoga seluruh rakyat Malaysia dilindungi daripada musibah penyakit COVID-19 ini, insya-Allah,” kata beliau menerusi catatan Facebooknya, hari ini.
Pada Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak 3,626 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 Nov lepas, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.