9 DIS : Keselamatan siber negara sedang diperkukuhkan bagi mengelak berlakunya insiden serangan siber seperti terjadi kepada laman sesawang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang digodam sejak 2 Disember lalu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata serangan siber akan dikekang menerusi kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat berkaitan.
“Kita sekarang memperkukuhkan cyber security dan ada juga keputusan MKN dan MCMC untuk menjalin kerjasama dengan syarikat yang mempunyai keupayaan mengekang serangan siber,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Jumaat lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan laman pangkalan data PERKESO digodam.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata pelantikan lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) merupakan usaha Kerajaan MADANI dalam mengutamakan tatakelola baik dan membanteras rasuah di negara ini.
“Sepertimana kita tahu dalam Kerajaan MADANI, tatakelola merupakan pokok utama dan pembanterasan rasuah mesti diteruskan.
“Memang ada sedikit kejayaan permulaan dan antara ukuran penting ialah pimpinan. Sehingga sekarang, setahun belum ada bantahan dan pendedahan tentang salah laku dan rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar); Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar); Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui (GRS-Tawau) dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (PH-Bentong) menerima surat cara pelantikan sebagai ahli JKMR pada 28 November lepas.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, mereka dilantik selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Anwar dan tempoh keahlian mereka berkuat kuasa mulai 9 Oktober lepas hingga 8 Oktober 2026.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim