9 DIS : Kabinet secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menukar lesen memandu kenderaan digunakan ketika ini kepada bentuk digital.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata syarat yang dikenakan adalah semua maklumat peribadi tidak diperoleh syarikat pengendali.
“Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) sebelum ini merancang menukar lesen memandu yang ada, dalam bentuk digital dengan syarat semua maklumat peribadi tidak diperoleh syarikat pengendali.
“Selain itu, kos setiap lesen kurang daripada sekarang dan Kabinet setuju pada dasarnya cadangan beliau itu,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran ZCERT – Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital rentas sempadan di atas blok rantai Zetrix-Xinghuo di Kuala Lumpur, hari ini.