9 DIS : Malaysia membantah membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata segera di Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Malaysia melahirkan rasa kesalnya dengan sikap AS yang masih mempertahankan tindakan pembunuhan anak-anak kecil tanpa sekatan di Gaza.
“Satu dunia menemplak dan membantah (tindakan Israel) dan saya masih kesal dan bantah sikap AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan. Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya, membantah terhadap keputusan AS menolak gencatan senjata Majlis Keselamatan (PBB).
“Tolonglah, kita mesti hentikan pembunuhan mereka yang tidak bersalah, orang awam, bayi dan wanita dan tidak terdapat sebab, tiada sebab langsung untuk mana-mana pihak menafikan perkara ini dan sebab itulah saya berasa sedih dengan keputusan melampau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira sejam melawat Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Semalam, AS menggunakan kuasa vetonya menolak resolusi PBB untuk menggesa gencatan senjata segera dalam konflik antara Israel dan Hamas di Gaza.
Ia sekali gus mematahkan desakan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera yang diketuai oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan negara-negara Arab.