9 DIS : Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) diberi mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui ikhtiar pemikiran baharu masyarakat Melayu.
Bagi menuju ke arah itu, Anwar berkata agenda Gerakan Alumni UiTM Turun Masyarakat (GEMA) yang akan dilaksanakan PAUiTM akan diberikan dukungan penuh khususnya terkait pendidikan dan pembangunan ekonomi anak bangsa.
Jelas perdana menteri itu, beliau menghargai usaha dan peranan yang dimainkan Alumni UiTM khususnya dalam agenda pembangunan masyarakat Melayu dan Bumiputera.
“Saya berbangga melihat hasil usaha UiTM sejak penubuhannya yang telah melahirkan lebih 700,000 alumni di seluruh negara sehingga kini.
“Ini hasil usaha kejuruteraan sosial yang telah mengubah landskap pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsiannya di media sosial hari ini, selepas menerima kunjungan PAUiTM di pejabatnya pada Jumaat.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim