9 DIS : Kerajaan sedang mempertimbang untuk menganjurkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di peringkat negeri susulan sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung pada hari sejak ia membuak tirai, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan membincangkan perkara dalam mesyuarat jemaah menteri, minggu depan.
“Saya saksikan minat rakyat bertambah baik dan kalau dalam keadaan begini kita (kerajaan) mungkin menimbang dalam mesyuarat jemaah menteri minggu depan untuk memindahkan kegiatan pameran seperti ini.
“Ini bagi memberi pencerahan kepada rakyat di setiap negeri di negara ini,” katanya selepas meninjau Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar akui berpuas hati apabila program berkenaan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan termasuk kerjasama erat semua jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta.
Beliau juga mahu pengunjung terutama golongan muda supaya meneliti setiap kemudahan dan perkhidmatan yang dilaksanakan semua kementerian dipamerkan pada program itu.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan selama tiga hari bermula semalam dengan acara kemuncak adalah majlis perasmian penutupan yang dijadual disempurnakan oleh Anwar, esok.
Penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI selama tiga hari bermula semalam dari 9 pagi hingga 10 malam, memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.