10 DIS : Gerakan Islam diseru untuk bekerja lebih kuat, tersusun dan bersungguh-sungguh dalam memberi pencerahan kepada umat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gerakan ini perlu menumpukan pengisian dari sudut peningkatan kefahaman mendalam di saat berhadapan dengan keterbatasan ilmu serta asakan pemikiran Barat yang kuat.
“Susulan cabaran semasa, nahdah atau kebangkitan dengan kesedaran dan pencerdasan, menjadikan ia tanggungjawab lebih berat. Kita harus bekerja lebih kuat, tersusun dan bersungguh-sungguh memberi pencerahan kepada umat,” kata beliau menerusi catatan di Facebooknya, hari ini.
Anwar yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyampaikan perkara tersebut pada Majlis Makan Malam dan Pidato Melakar Nahdah Ummah bersempena Ijtimak Harakiy Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), ABIM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Putrajaya pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaa atas kehadiran senior aktivis sezaman dengannya yang setia dengan perjuangan gerakan dakwah, pelajar dan belia pada majlis itu yang turut dihadiri isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.