10 DIS : Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bakal melabuhkan tirai hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan amanat pada acara kemuncak, Majlis Perasmian Penutupan di pentas utama pekarangan stadium itu.
Selain itu, Anwar dijangka terlibat dalam sesi dialog Malaysia MADANI di mana majlis penutup dijadual bermula jam 3 petang, lapor Bernama.
Selain penyampaian hadiah cabutan bertuah, penyerahan kutipan Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Peringkat Perkhidmatan Awam turut diadakan.
Orang ramai juga berpeluang memeriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dengan pelbagai tarikan menanti, termasuk menjana pendapatan melalui perniagaan coklat buatan tangan selain mendapatkan panduan mengenai Geran Agropreneur Muda dan Program Pembiayaan Agrobank.
Mereka juga dapat menyaksikan persembahan artis seperti Faizal Tahir, Hael Husaini, Suki Low dan Santesh di pentas utama yang akan bermula dari 12.30 hingga 1.30 tengah hari.
Bagi yang mempunyai saman trafik, hari ini peluang saat akhir untuk mendapatkan diskaun hingga 50 peratus di kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia yang dibuka sejak dua hari lepas.
Tidak ketinggalan, pameran aset kerajaan termasuk milik Angkatan Tentera Malaysia seperti aset strategik dan kenderaan ringan, saringan kanser payudara dan kanser serviks, klinik pergigian dan klinik kesihatan am bergerak serta cabutan bertuah.
Pada 8 pagi, majlis pelepasan Mobilisasi MADANI Afiat akan berlangsung di pekarangan stadium.
Selain melawat reruai kementerian dan agensi kerajaan, pengunjung boleh menikmati diskaun hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ayam dan daging segar menerusi Jualan Mega MADANI.
Bagi memastikan kemudahan serta kelancaran perjalanan, orang ramai boleh menggunakan pengangkutan awam dengan perkhidmatan bas percuma disediakan bermula 7 pagi dan mereka juga akan menikmati diskaun 25 peratus bagi tambang perjalanan ke Stesen LRT Bukit Jalil.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan dengan tiga objektif, iaitu menyebar luas dan mempromosi dasar serta inisiatif baharu kepada rakyat, meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan serta membina kepercayaan dan keyakinan di antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan secara berkala.
Program tiga hari itu, yang bermula 9 pagi hingga 10 malam bertumpu kepada tiga komponen iaitu pameran Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan untuk rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.