10 DIS : Kerajaan bakal melanjutkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di peringkat negeri bermula pada suku pertama tahun depan selepas ia mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata pemilihan negeri serta ketetapan tarikh bagi penganjuran program berkenaan akan diselaraskan mengikut masa dan lokasi bersesuaian.
“Saya harap dalam suku pertama penganjuran (program berkenaan di peringkat negeri) tetapi kita kena selaraskan sebab kita tahu bulan Mac ialah bulan puasa, jadi mungkin kita kena ada penyelarasan sebelum jadual diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di saluran TV1 sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata program di peringkat negeri itu akan dianjurkan berskala kecil.
Bagaimanpun, Fahmi menjelaskan program tersebut akan dipenuhi dengan maklumat mengenai setiap kementerian serta perkhidmatan yang dapat diberikan kepada rakyat.
“Ia adalah untuk menceritakan mengenai pencapaian kerajaan, perkhidmatan atau pun dasar baharu yang sudah mula dilaksanakan seperti gaji progresif, pangkalan data utama untuk bantu menyasarkan semula subsidi dan beberapa perkara lain yang menjadi fokus kerajaan.
“Di samping itu untuk membantu komuniti setempat dan penduduk negeri itu supaya dapat memanfaatkan keberadaan atau kehadiran kementerian-kementerian di bawah satu bumbung,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mempertimbang untuk meneruskan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di peringkat negeri berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
Mengulas mengenai sambutan pada hari penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Madani hari ini, Fahmi berkata ia berlangsung dalam suasana menggalakkan dengan orang ramai mengambil peluang memanfaatkan pelbagai tawaran yang disediakan.
“Hari ini saya lihat ramai yang datang untuk mendapatkan diskaun saman PDRM (Polis Diraja Malaysia), ada juga yang beratur untuk dapatkan topi keledar daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ini menggambarkan suasana yang sangat positif,” katanya.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama tiga hari itu yang berakhir pada pukul 10 malam ini, dengan memfokuskan kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.
Selain itu, program tersebut diadakan dengan tiga objektif iaitu menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu kepada rakyat, meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan serta membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan secara berkala.