10 DIS : Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI bakal diteruskan di Selangor pada Januari depan sebagai usaha kerajaan menyampaikan maklumat berkaitan pentadbiran kerajaan secara lebih menyeluruh kepada kepada orang ramai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Selangor menjadi negeri pertama memulakan laporan berkenaan selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan persetujuan untuk melaksanakan program tersebut.
“Kita akan turunkan dengan kemudahan disiapkan bermula Januari, Menteri Besar Selangor setuju untuk mulakan laporan ini di Selangor.
“Ia seterusnya akan dipindahkan ke negeri lain dengan kos lebih rendah untuk siapkan laporan sama dengan sedikit pertambahan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog Malaysia MADANI sempena Majlis Perasmian Penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI di perkarangan Stadium Bukit Jalil, hari ini.
Turut hadir ialah dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata rakyat dapat melihat kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Perpaduan sepanjang 12 bulan kerajaan yang ditadbirnya itu menjerajui negara.
Jelas beliau, Kerajaan Perpaduan adalah berbeza dengan pentadbiran sebelum ini yang mana pentadbiran dibawahnya itu menunjukkan prestasi lebih baik dan telus.
“Saya berpendapat, melihat kepada prestasi, alhamdulillah walaupun saya tidak mahu takabur. Manusia ini ikhtiar melakukan perubahan, tetapi cari jalan supaya tambah.
“Saya cadangkan rakyat apabila melihat, sekarang di sini dan bulan depan di Selangor, serta di negeri-negeri lain, ambil kesempatan, lihat kejayaan-kejayaan,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL
*Foto : Jabatan Penerangan Malaysia