13 DIS : Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan terus memimpin Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB (pemulihan aset) untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut menafikan dakwaan berhubung jawatannya di dalam jawatankuasa tersebut bakal diganti selepas beliau kembali menerajui Kabinet kerajaan Persekutuan pada Selasa.
“Insya-Allah, pada masa ini, saya masih (memimpin jawatankuasa),”
“Jika ada sesiapa yang cukup berani untuk mengambil cabaran memimpin jawatankuasa, maka lakukanlah,” katanya ringkas selepas secara rasmi memulakan tugasnya di kementerian, hari ini.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Johari antara lima menteri yang kembali semula dalam Kabinet kerajaan.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Johari bagi memimpin jawatankuasa itu pada Mac lalu.
Pelantikan tersebut selepas Anwar bersetuju dengan kebimbangan dan kritikan yang dikemukakan oleh Johari mengenai perjanjian penyelesaian Malaysia dengan Goldman Sachs berkenaan 1MDB.
Sebelum ini, Johari yang juga bekas Menteri Kewangan kedua semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mendesak kerajaan untuk menyiasat mereka yang terlibat dalam penyelesaian dengan Goldman Sachs berhubung peranan bank pelaburan itu dalam skandal 1MDB pada Februari lalu.
Beliau mempersoalkan mengapa pentadbiran kerajaan ketika itu hanya bersetuju untuk AS$2.5 bilion (RM10.7 bilion) daripada Goldman Sachs sedangkan bank itu telah berjaya mengumpulkan bon bernilai AS$6.5 bilion (RM27.6 bilion) pada tahun 2012 dan 2013.
Pada tahun 2020, kerajaan yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs membabitkan bank pelaburan itu membayar AS$2.5 bilion kepada kerajaan dan menjamin pulangan AS$1.4 bilion dalam aset 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.