13 DIS : Kabinet Kerajaan Perpaduan yang baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata ia dilihat dari segi jumlah, pengalaman dan keupayaan barisan Kabinet itu untuk memacu ekonomi negara
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu turut disokong beberapa penganalisis yang berpendapatan Kabinet kali ini adalah jauh lebih baik berbanding Kabinet kerajaan terdahulu.
“Bagi yang kecewa itu, nasihat saya ialah jangan pendam kecewa itu, tampil ke meja rundingan seperti ditegaskan perdana menteri.
“Kita putuskan beberapa perkara dan kita hidup berharmoni, rukun aman damai,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan barisan Kabinet baharu itu mengecewakan.
Semalam, Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Kabinet yang diumumkan oleh Anwar sebagai ‘Kabinet balas budi’.
Menyentuh soal hasrat dan amanat yang disampaikan perdana menteri terhadap Kabinet baharu itu, Fahmi berkata Anwar mahu barisan jemaah menteri bekerja keras melaksanakan usaha menyelesaikan masalah rakyat.
“Dengan adanya contoh teknokrat, ada beberapa ahli Parlimen yang pernah berkhidmat dalam jemaah menteri maka ada tanda positif penerimaan dalam kalangan rakyat dan akar umbi malah dalam kalangan mungkin sektor korporat.
“Yang jelas perdana menteri memaklumkan hasrat rakyat untuk melihat perubahan itu bermaksud ramai kalangan menteri yang baharu, mereka perlu bergerak dengan cepat, tiada tempoh bulan madu,” katanya.
Semalam, Anwar merombak Kabinet setelah setahun mentadbir negara dengan menggugurkan dan menukar beberapa portfolio menteri termasuk menstruktur semula beberapa kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan.