13 DIS : Barisan menteri dan timbalan menteri yang baharu dilantik serta yang berubah portfolio semalam memulakan tugas secara rasmi, hari ini.
Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung di Bangunan Perdana Putra jam 10 pagi tadi.
Difahamkan, mesyuarat tersebut bertujuan memberi taklimat berhubung peraturan, naratif dan hala tuju baharu Kerajaan Perpaduan selepas rombakan Kabinet, semalam.
Kesemua menteri dan timbalan menteri terlibat meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu sebagai simbolik melaporkan diri yang merupakan tradisi amalan biasa dilakukan.
Kesemua mereka turut meluangkan masa beramah mesra bersama kakitangan kmenterian masing-masing selain diberikan taklimat tugasan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pelantikan lima menteri dan timbalan menteri termasuk muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam barisan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.
Rombakan itu menyaksikan jumlah ahli jemaah menteri meningkat daripada 28 kepada 31 manakala timbalan menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri