13 DIS : Sebarang perundingan menerusi cadangan dan pandangan boleh dilakukan dengan baik tanpa membelakangkan Perlembagaan Persekutuan, sistem demokrasi berparlimen dan prinsip Raja Berperlembagaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk pandangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai cadangannya agar lebih banyak tanggungjawab diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong termasuk pemantauan secara terus terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
“Kita boleh runding dengan baik tetapi prinsip Perlembagaan, sistem demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan itu tetap dipertahankan dan kita junjung prinsip yang sama.
“Jadi tidak harus ada kebimbangan kalau ada kenyataan dan pandangan termasuk daripada Sultan Johor. Pandangan ini boleh dibawa bincang tetapi tidak akan mempengaruhi dasar negara dan prinsip kita tentang Raja Berperlembagaan,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas merasmikan pelancaran pameran ‘Perjalanan Menelusuri Seni Islam’ dan ‘Alif Lam Ra: Kaligrafi Kontemporari Muslim’ sempena sambutan ulang tahun ke-25 Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) pada Selasa.
Beliu mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata titah cadangan Sultan Ibrahim supaya SPRM dan Petronas dipantau secara langsung oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diambil ringan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan pandangan yang dilontarkan Dr Mahathir serta menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu tidak mengugat kuasa Perlembagaan.
“Dia (Dr Mahathir) hanya melontarkan pandangan dan kita bincang. Bagi saya tiada masalah. Pandangannya tidak langsung akan menggugat kuasa dan peruntukan Perlembagaan negara kita,” katanya.