14 DIS : Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara, hari ini.
RUU yang dibentangkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).
Selain itu, peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya digugurkan dalam RUU tersebut.
Menurut Dzulkefly, pengguguran GEG daripada rang undang-undang ini merupakan keputusan kolektif dan kebertanggungjawaban bersama oleh kerajaan setelah mengambil kira pandangan Jabatan Peguam Negara.
“Berdasarkan pandangan Jabatan Peguam Negara, terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, ini bermaksud memberi layanan yang berbeza terhadap orang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan mereka yang lahir selepas atau pada 1 Januari 2007. Konsep GEG ini akan menyebabkan layanan berbeza terhadap dua kumpulan yang lahir pada tahun berbeza.
“Oleh itu, Jabatan Peguam Negara mempunyai pandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Negara, hari ini.
RUU yang mengandungi Fasal 1 hingga 54 itu dibentang semula bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara semalam, sebelum dibentang untuk bacaan kali ketiga hari ini dan dibahas 22 Ahli Dewan Negara.
Sementara itu, selaras dengan kelulusan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, Dewan Negara turut meluluskan RUU Makanan (Pindaan) 2023 bagi meminda Akta Makanan 1983.
RUU mengandungi empat fasal yang turut dibentangkan Dzulkefly itu adalah bagi meminda Akta Makanan 1983 (Akta 281) untuk memastikan tiada percanggahan dan pertindihan peruntukan antara kedua-dua perundangan ini.