14 DIS : Semua pihak diseru agar mempertingkatkan usaha mempromosi barangan Malaysia di peringkat antarabangsa dan tempatan dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau turut memainkan peranan mempromosi barangan Malaysia antaranya dengan pemakaian batik Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Esok petang saya ke Tokyo, Jepun untuk mesyuarat ASEAN dan semua 10 negara ASEAN diundang Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dan satu malam dia kata boleh pakai pakaian sut atau pakaian rasmi.
“Saya bagi nota nak pakai batik Malaysia walau di sana (Jepun) musim sejuk, ini sebab saya rasa bertanggungjawab untuk promosi barang buatan Malaysia,” katanya.
Beliu berkata demikian dalam ucapannya sempena merasmikan Karnival Barangan Malaysia 2023, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau menjadikan kunjungan ke gerai dan warung pada hari Jumaat untuk makan tengah hari sebagai acara tetap mingguan bagi tujuan mempromosi barangan Malaysia di peringkat tempatan.
“Sebelum solat Jumaat saya pergi warung dan gerai dan makan di kedai tempatan. Ini cara promosi barangan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meyeru anggota pentadbiran untuk menunjukkan kesungguhan dalam mempromosi serta menyokong barangan Malaysia.
“Menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan kawan-kawan ambil langkah tambahan promosi barang Malaysia, ada kesungguhan.
“Saya sendiri tidak rasa kurang darjat saya makan di gerai dan warung tiap minggu…kopi atau makanan dihidang ini kadang-kadang lebih enak daripada restoran lima bintang,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut menasihati pengusaha produk Malaysia untuk terus mempertingkatkan mutu barangan mereka supaya dapat bersaing dengan syarikat luar.