15 DIS : Bekas Presiden Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz dipilih sebagai pengerusi baharu Bersih.
Menurut kenyataan jawatankuasa pemilihan Bersih, Faisal memenangi jawatan berkenaan dalam persaingan sengit dengan seorang lagi calon, Gopalan K Papachan, hari ini.
Daripada 61 NGO yang membentuk gabungan Bersih katanya, 45 menyertai proses pengundian dengan 23 mengundi Faisal manakala Gopalan menerima 22.
“Berdasarkan keputusan di atas, jawatankuasa pemilihan mengisytiharkan Muhammad Faisal Abdul Aziz sebagai Pengerusi Bersih yang baru bagi penggal 2023 hingga 2025.
“Jawatankuasa pemilihan mengucapkan tahniah kepada calon yang telah dipilih dan mendoakan yang terbaik untuk mereka melaksanakan tanggungjawab menerajui Bersih bagi penggal ini,” kata kenyataan itu.
Penyandangnya, Thomas Fann melepaskan jawatan tersebut, bulan lalu.
Menurut Fann, walaupun beliau mengekalkan jawatan pengerusi tanpa dicabar semasa pemilihan awal November lalu, kebanyakan calon lain yang ada dalam pasukannya ditolak oleh NGO yang mengambil bahagian.
Kata Fann, beliau melihat pemilihan tersebut sebagai ‘undi tidak percaya’ terhadap kepimpinannya yang menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.