15 DIS : Kerajaan akan memberi subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi kelas ekonomi yang melebihi RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiga hari bermula esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelaksanaan inisiatif bantuan pembelian tiket penerbangan tersebut bermula sempena perayaan Krimas tahun ini dan akan diteruskan pada perayaan 2024.
“Tiket penerbangan berharga kurang daripada RM599 bagi laluan berkenaan akan dijual pada harga asal yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan.
“Manakala, bagi tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 pula, kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dan harga maksimum terbabit,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Loke berkata perkara tersebut sudah dipersetujui pada mesyuarat jemaah menteri pada Rabu lalu.
Terdahulu, kerajaan meneliti mekanisme pemberian subsidi bagi mengurangkan kadar tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.
Loke berkata, subsidi tersebut bertujuan memastikan kadar yang akan ditetapkan tidak terlalu tinggi untuk beberapa hari sebelum musim perayaan.