15 DIS : Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengecam tindakan tentera Israel yang mencemari kesucian sebuah masjid dengan membaca doa Yahudi yang turut ditulis pada dinding masjid tersebut.
Menerusi satu klip video yang diperoleh AFP, ia memperlihatkan beberapa orang tentera Israel yang berada dalam kem pelarian Jenin membaca doa dalam agama yahudi, ‘Shema Yisrael’ dengan menggunakan pembesar suara masjid.
Pada penghujung klip video tersebut, mereka kelihatan ketawa di luar masjid ketika lagu Hanukkah iaitu perayaan bagi meraikan rampasan Baitulmaqdis berkumandang dari pembesar suara.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, tentera Israel di dalam video tersebut berkemungkinan merupakan antara yang terlibat dalam serbuan maut di Jenin minggu ini yang mengakibatkan 11 rakyat Palestin terbunuh.
Kementerian Antikuiti Hamas menganggarkan lebih daripada 100 masjid musnah selepas Israel membedil wilayah itu sejak 7 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Jurucakap presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh,menyifatkan perbuatan tentera Israel terhadap masjid tersebut adalah kelakuan yang memalukan serta perlu dikecam.
Tegas Nabil, tindakan rejim Zionis itu mengundang tindak balas daripada Palestin serta akan mengheret wilayah itu ke dalam perang agama.
“Api perang agama yang ingin dicetuskan oleh Israel tidak akan terhad kepada wilayah Palestin sahaja, sebaliknya akan meluas ke seluruh dunia jika ia tetap berdiam diri mengenai jenayah dan pencabulan hak rakyat Palestin,” katanya.
Justeru, beliau menggesa masyarakat antarabangsa terutama Amerika Syarikat (AS) agar memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencabulan terhadap rakyat Palestin, harta benda dan kesucian umat Islam.
Sementara itu, Jurucakap tentera, Daniel Hagari, berkata langkah sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi nilai Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Beliau turut memaklumkan askar terbabit sudah disingkirkan daripada tugas operasi bagi menghadapi prosedur tatatertib.