15 DIS : Kementerian Kesihatan (KKM) diarahkan untuk terus memantau situasi susulan peningkatan drastik kes positif COVID-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penularan masih berada peringkat tidak serius berdasarkan laporan Menteri Kesihatan baharu dilantik, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
“Dia (Dr Dzulkefly) sudah pantau (peningkatan kes) walaupun kesannya tidak serius tetapi minta orang waspada dari sudut kesihatan,” katanya, lapor MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan bagi mengurangkan penularan kes positif COVID-19.
“Jaga kesihatan,” nasihatnya.
Kes baharu COVID-19 melonjak kepada 12,757 kes bagi tempoh 3 Disember hingga 9 Disember lalu berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.
Namun menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan keadaan di negara ini masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan.
Katanya, majoriti pesakit yang dijangkiti COVID-19 di Malaysia hanya mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.