15 DIS : Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun bakal menjadi ruang untuk Malaysia mempertingkat kerjasama ekonomi pelaburan dan perdagangan dengan negara matahari terbit itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sidang kemuncak selama tiga hari bermula esok di Tokyo itu kesempatannya untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.
“Ini sempena 50 tahun ASEAN, jadi PM Jepun minta kita adakan pertemuan dan kunjungan hormat kepada Jepun.
“Perbincangan ini tentunya untuk meningkatkan kerjasama ekonomi, pelaburan dan perdagangan dengan Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi, hari ini.
Untuk rekod, ini merupakan lawatan kerja pertama Anwar ke Jepun sejak menjawat jawatan itu pada 24 November 2022.
Perdana Menteri dijangka mengikuti jadual padat semasa lawatan kerja lima hari di Tokyo hingga 23 Disember termasuk menghadiri satu majlis untuk meraikan kesemua pemimpian ASEAN yang turut dihadiri Maharaja Jepun.
Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015.
Pada tahun 2022, perdagangan dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (AS$4.21 bilion) menyumbang 6.4 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia.
Sehingga Jun 2023, sejumlah 2,778 projek syarikat-syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan sejumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion).