16 DIS : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengakui wujudnya ketirisan dan penyelewengan subsidi yang diberikan kepada rakya negara ini.
Kata Armizan, kementeriannya sudah mengambil tindakan untuk melaksanakan audit bagi melihat pelaksanaan subsidi itu di seluruh negara.
“Saya tidak menafikan ketika memangku Menteri KPDN sebelum ini ada dengar khabar angin. Kini saya boleh sahkan memang berlaku ketirisan dan penyelewengan subsidi namun belum dapat dipastikan sehingga tahap mana.
“KPDN sudah membuat audit bermula pada Oktober lepas untuk salah satu komponen subsidi iaitu minyak masak peket.
“Kita dapati ada isu sorok, ada isu minyak masak peket dimasukkan semula dalam botol kemudian dijual semula dengan harga minyak masak botol, memang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Muzikal Platinum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint (St) Joseph Grand Reunion di Papar, hari ini.
Katanya, audit tersebut akan berlangsung sehingga Mac tahun hadapan sebelum laporannya dibentangkan.
“Bagi saya ini merupakan salah satu perkara yang kita tidak boleh kompromi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar sempat memberi amaran kepada pemilik syarikat yang dilantik supaya tidak melakukan aktiviti menyeleweng sehingga menyebabkan ketirisan subsidi yang diberikan kerajaan.
“Jadi nasihat saya kepada mereka yang terlibat, syarikat-syarikat yang dilantik bagus-baguslah berniaga.
“Janganlah berniaga untung atas angin, atas subsidi ini dan untung atas subsidi yang sepatutnya dimanfaatkan kepada golongan yang memerlukan.
“Jangan sabotaj atas keprihatinan kerajaan untuk rakyat yang memerlukan,” katanya.