16 DIS : Sebuah pusat beli-belah di Puchong dinaiki air selepas hujan lebat yang melanda sejak petang tadi.
Melalui satu rakaman video tular di media sosial, kelihatan pengunjung terpaksa meredah air dalam kawasan bangunan IOI Puchong yang mula dinaiki air.
Puluhan kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir turut terjejas susulan air naik hampir 0.5 meter.
Unit Pengurusan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan amaran tahap tiga atau bahaya di kawasan IOI Puchong pada jam 6.46 petang tadi.
Dalam amaran itu semua agensi terlibat pengurusan bencana diminta bersedia untuk pelaksanaan operasi bantuan bencana di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Diminta kepada semua pengguna jalan raya yang akan melalui jalan tersebut supaya merancang dan mencari laluan alternatif bagi mengelak kawasan tersebut.
“Semua penduduk berdekatan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” menurut notis itu di Facebook MBSJ.