16 DIS : Amanah yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata keyakinan itu berdasarkan ‘vote bank’ khususnya di negeri-negeri yang ditadbir kerajaan ketika ini.
“Saya yakin kita boleh menang semula untuk terus memerintah selepas PRU16 sebab kita ada vote bank di Sarawak, Sabah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.
“Di negeri- negeri ini bila kita lihat perkembangan politik dan suasananya Insya-Allah cukup majoriti untuk bentuk kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di Bangsar pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, Mohamad berkata Kerajaan Perpaduan kini juga diterima baik di mana sokongan oleh penjawat awam yang menjadi undi penting dalam setiap pilihan raya semakin pulih.
“Undi penjawat awam kepada kita begitu parah susulan wujud dakwaan kerajaan akan bertukar selepas pilihan raya (PRN) di enam negeri…selepas tidak ada pertukaran kerajaan (mereka kembali sokongan Kerajaan Perpaduan),” katanya.
Namun beliau akui sokongan kuat yang diterima di negeri-negeri yang ditadbir kerajaan belum mencukupi.
Justeru itu katanya, kerajaan perlu memfokus kepada usaha untuk menarik kembali sokongan rakyat di negeri diperintah pembangkang yang majoritinya pengundi Melayu dan Islam.
“Kita kena lihat kaedah bagaimana hendak tarik sokongan rakyat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Kita tidak boleh terus jadi kerajaan tanpa sokongan orang Melayu dan Islam,” katanya.