16 DIS : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPMM) akan mendapatkan bekalan bawang dari China dan Pakistan selepas larangan eksport dari India sehingga Mac tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu tidak akan menyebabkan perubahan ketara kepada harga runcit bawang di negara ini.
“Kita sudah bersedia ke arah itu. Harganya nanti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bincang, tetapi kesannya tidak banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Parti Amanah Negara pada Sabtu.
Pada 8 Disember lalu, India yang menyumbang 36 peratus import bawang ke Malaysia melaksanakan larangan eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna di negara itu.
Menurut Direktorat Perdagangan Luar Negeri India, ia susulan eksport bawang dipindahkan daripada kategori bebas kepada larangan hingga 31 Mac 2024.