16 DIS : Malaysia dan Jepun akan meningkatkan hubungan kedua negara kepada kerjasama komprehensif strategik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Fumio Kishida mengeluarkan kenyataan bersama hari ini berkait perkara itu.
Ia dikeluarkan sebelum keduanya menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran nota Bantuan Geran Keselamatan rasmi oleh Jepun.
Melalui nota itu, Jepun akan menyediakan peralatan pemantauan dan pengawasan untuk Malaysia.
Anwar dan Kishida juga menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama mengenai Pembangunan dan Aplikasi Angkasa Lepas antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).
Terdahulu, Anwar dan Kishida mengadakan pertemuan dua hala ringkas dan mesyuarat.
Anwar berkata, Malaysia amat menghargai komitmen Jepun kepada rantau ini termasuk Malaysia sejak 1980-an yang menyumbang kepada pertumbuhan rantau ini dan negara.
Untuk rekod, ini merupakan lawatan kerja pertama Anwar ke Jepun sejak menjawat jawatan itu pada 24 November 2022.
Perdana menteri dijangka mengikuti jadual padat semasa lawatan kerja lima hari di Tokyo hingga 23 Disember termasuk menghadiri satu majlis untuk meraikan kesemua pemimpian ASEAN yang turut dihadiri Maharaja Jepun.
Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015.
Pada tahun 2022, perdagangan dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (AS$4.21 bilion) menyumbang 6.4 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia.
Sehingga Jun 2023, sejumlah 2,778 projek syarikat-syarikat Jepun dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan sejumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion).
* Foto : SADIQ ASYRAF/ Prime Minister’s Office of Malaysia