18 DIS : Pegawai kanan polis yang disyaki melanggar pelajar berusia 17 tahun hingga maut di Ipoh akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak, hari ini atas kesalahan membunuh.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat setelah penilaian ke atas hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan.
Pegawai berpangkat deputi superintenden berusia 44 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan pada Ahad.
Difahamkan, Mahkamah Majistret kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk perbicaraan.
Pegawai kanan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu sebelum ini direman selama tiga hari bermula Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, Jumaat lalu, mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 yang lengkap berpakaian sukan sekolah maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata tindakan mendakwa pegawainya itu membuktikan ketelusan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
“Keputusan ini memperlihatkan ketelusan polis dalam melakukan siasatan terhadap sebarang kes jenayah termasuk melibatkan pegawai kanan polis.
“Siasatan kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti.
“Saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan jenayah, saya akan pastikan siasatan yang telus dan adil dijalankan bagi menjaga nama baik pasukan ini,” katanya.