Tiada arahan ambil vaksin penggalak : Fahmi
18 DIS :Tiada arahan atau kewajipan untuk rakyat negara ini mengambil suntikan dos penggalak vaksin susulan peningkatan kes Covid-19.
Tegas Menteri, Komunikasi Fahmi Fadzil maklumat yang tular di media sosial ketika ini hanya salah faham.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.
“Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial, sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar.
“Kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan agak berbeza, saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan),” katanya, lapor Bernama.
Fahmi berkata, beliau juga akan menyarankan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk berjumpa dengan ketua pengarang akhbar dan media di negara ini bagi memperjelas isu berkaitan dos penggalak itu.
Terdahulu dilaporkan KKM dijangka mengeluarkan arahan baharu untuk pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 dalam masa terdekat terutama bagi mereka yang lebih rentan terhadap komplikasi jangkitan virus itu.
Menurut Dzulkefly, stok vaksin mencukupi dan belum tamat tempoh.