18 DIS : Pemimpin DAP diingatkan agar ‘lebih sensitif’ dan berhenti membuat kenyataan berbentuk provokasi.
Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh menujukan peringatan itu kepada Tan Sri Lim Kit Siang dan Tan Kok Wai.
Kata Akmal, kenyataan Lim berkaitan impian orang bukan Melayu menjadi perdana menteri, dan gesaan Tan agar pilihan raya majlis tempatan diadakan di Kuala Lumpur adalah tidak perlu dan boleh mencetuskan ketidakharmonian
“Malah saya percaya Kerajaan Perpaduan sendiri juga tidak selesa (dengan kenyataan-kenyataan tersebut).
“Ia umpama provokasi sengaja terhadap ‘status quo’ persefahaman antara kaum yang dikecapi selama ini,” katanya di Facebook, hari ini.
Katanya lagi, hanya 45.9% penduduk di Kuala Lumpur merupakan Bumiputera jadi akan wujudnya ketidakseimbangan jika pilihan raya diadakan.
Menurut Akmal, Malaysia ditadbir berdasarkan konsensus dan kemuafakatan sejak enam dekad lalu dengan sokongan majoriti.
Katanya, kenyataan yang dibuat pemimpin-pemimpin DAP itu seolah-olah mengandungi mesej atau isyarat yang tersirat.
“Pimpinan DAP harus lebih sensitif dan menghormati keharmonian sedia ada, bukan membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat dan sesama kaum.
“Berada dalam kerajaan yang sama tidak bermaksud boleh bersetuju dalam semua perkara kerana kerajaan ini bukanlah kerajaan DAP tetapi ia dibina dengan kehadiran Umno.
“Pemuda Umno tidak sesekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama ini,” katanya.
Lim kini sedang disiasat polis susulan kenyataan yang dibuatnya pada ceramah kepada pelajar di United Kingdom, sebelum ini.
Sementara Tan mencadangkan agar pilihan raya majlis tempatan diadakan di Kuala Lumpur, semakan.
Ketua DAP Kuala Lumpur itu berkata memperkenalkan semula pilihan raya sedemikian akan mewujudkan kemampanan dan memberikan hak kepada penduduk untuk memilih wakil majlis tempatan mereka.
Pilihan raya majlis tempatan di Malaysia digantung pada 1960-an dan kemudiannya digantikan dengan sistem lantikan ketua majlis tempatan oleh kerajaan negeri.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini berkata Kerajaan Perpaduan tidak bercadang untuk memperkenalkan pilihan raya majlis tempatan buat masa ini.